APAKAH kehebatan bangun solat di malam hari
terutama di sepertiga malam yang akhir ? Sehinggakan Rasulullah sanggup
melakukannya sehingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah, sehinggakan juga
Sallehuddin Al-Ayyubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan
mujahidin yang paling hadapan untuk menggempur musuh. Sehinggakan juga Umar Abd
Aziz berkata: “Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan
ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat” berulang-ulang.
Saranan Rasulullah Sallallahu‘alaihi Wasallam :
Dari Abu Hurairah r.a “….Kekasihku
Rasulullah telah berwasiat kepadaku agar aku tidak tidur sebelum solat witir.”
(HR Bukhari)
Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash radhiallahu
‘anhuma katanya; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :
“Hai Abdullah, janganlah engkau menjadi
seperti si Fulan itu, dulu ia suka sekali bangun bersolat di waktu malam,
tetapi kini meninggalkan bangun solat waktu malam itu.” (Muttafaqun ‘alaih)
Dari Aisyah r.a katanya :
“Nabi sallallahu
‘alaihi wasallam itu berdiri untuk bersolat malam, sehingga pecah-pecah kedua
tapak kakinya. Saya berkata kepadanya;” Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian
ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang
dahulu dan yang kemudian?” Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda,
“Tidakkah saya ini wajar menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur.”
(Muttafaqun ‘alaih)
Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya :
“Ada seorang
lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu
bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi – yakni tidak bangun
untuk bersolat malam, lalu beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “orang
itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya” atau beliau sallallahu
‘alaihi wasallam bersabda; “di telinganya.” (Muttafaqun ‘alaih)
syaitan kencing dalam kedua2 telinga |
Dari Abu Hurairah r.a katanya :
” Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung
kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur.
Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi:
“Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu
bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari
dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan
satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan
seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati
gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia
berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.” (Muttafaqun
‘alaih).
Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-’Ash r.a
bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda padanya :
Solat yang paling dicintai Allah ialah
solatnya Daud dan puasa yang paling dicintai Allah ialah puasanya Daud. Ia
tidur separuh malam, bangun solat yang sepertiganya dan tidur seperenamnya, Ia
berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Muttafaqun ‘alaih)
Dari A’isyah r.a. pula bahawasanya Nabi
sallallahu ‘alaihi wasallam itu tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir
malam lalu bersolat. (Muttafaqun ‘alaih)
Apakah kelebihan-kelebihan itu?
•Solat Paling Afdhal Setelah Solat Fardhu
“Solat yang paling afdhal setelah solat
wajib adalah qiyamullail (tahajjud).”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
•Waktu Mustajabnya Doa
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai
kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah
Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap
malam.” (HR Muslim)
•Lebih Baik Dari Dunia dan Seisinya
Dua raka’at yang dilakukan oleh seorang
hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta
seluruh isinya. (HR Adam bin Abu Iyas)
•Meningkatkan Darjat Di sisi Allah
“Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang
tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu
mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).
Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah
lagi bermaksud: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu
dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama
bersembahyang.
Kalau isterinya enggan, beliau akan
memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun
tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk
turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.”
(HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)
•Ibadah Ahli Syurga
Firman Allah lagi dalam surah as Sajdah,
ayat ke-16 dan 17 bermaksud: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan
mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka
menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit
sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu
berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan
pada yang meminta dan yang kekurangan.” [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
“Hendaklah kamu semua menetapi solat malam, sebab yang demikian itu adalah
perilaku orang-orang yang soleh sebelum kamu.” (HR Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hai sekalian manusia,
ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersolatlah di waktu malam sedang para
manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan
selamat.” (HR Tirmidzi).
•Keteladanan Salafussoleh
Ibnul Qayyim Al-Jauzy melakukan solat
malam, dilanjutkan dengan solat Subuh dan kemudian dilanjutkan dengan solat
dhuha, setelah itu barulah beliau beranjak melakukan aktiviti-aktiviti yang
lain. Lalu beliau berkata,”jika hal ini tidak aku lakukan maka sungguh sangat
berat.”
Dalam riwayat Ibnu Ishaq dan Ahmad dari
Jabir bin Abdullah r.a. ia menceritakan; “Kami berangkat bersama Rasulullah SAW
pada perang Dzatur Riqaa’. Pada kesempatan itu tertawanlah seorang wanita
musyrikin. Setelah Rasulullah SAW berangkat pulang, suami wanita itu yang
sebelumnya tidak ada di rumah baru saja datang. Kemudian lelaki itu bersumpah
tidak akan berhenti mencari sebelum dapat mengalirkan darah para sahabat
Muhammad SAW. Lalu lelaki itu keluar mengikuti jejak perjalanan Rasulullah SAW.
Pada sebuah lorong di suatu lembah Rasulullah SAW bersama para sahabat
berhenti. Kemudian beliau bersabda, “Siapakah di antara kalian yang bersedia
menjaga kita malam ini?” Jabir berkata, “Maka majulah seorang dari Muhajirin
dan seorang lagi dari Anshar lalu keduanya menjawab, ‘Kami siap untuk berjaga
ya Rasulullah’. Nabi Muhammad SAW berpesan: “Jagalah kami di mulut lorong ini.”
Jabir menceritakan waktu itu, Rasulullah bersama para sahabat berhenti di
lorong suatu lembah.
Ketika kedua orang sahabat itu ke ke mulut
lorong, sahabat Anshar berkata pada sahabat Muhajirin, ‘Pukul berapa engkau
inginkan aku berjaga, apakah permulaan malam ataukah akhir malam?’ Sahabat
Muhajirin menjawab; ‘Jagalah kami di awal malam’, kemudian sahabat Muhajirin
itu berbaring tidur. Sedangkan sahabat Anshar melakukan solat. Jabir berkata,
datanglah lelaki musyrikin itu dan ketika mengenali sahabat Anshar, musyrikin
itu mengetahui bahwa sahabat itu sedang hirasah. Kemudian orang itu memanahnya
tepat mengenai diri Ansar tersebut, lalu sahabat Ansar itu mencabutnya kemudian
berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian orang musyrikin itu memanahnya
lagi dan tepat mengenainya lagi, lalu sahabat itu mencabut kembali anak panah
itu kemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian untuk ketiga kalinya
orang itu memanah kembali sahabat Anshar tersebut dan tepat mengenai dirinya.
Lalu dicabut pula anak panah itu kemudian ia rukuk dan sujud. Setelah itu ia
membangunkan sahabat Muhajirin seraya berkata, ‘Duduklah kerana aku telah
dilukai.’ Jabir berkata, Kemudian sahabat Muhajirin itu melompat mencari orang
yang melukai sahabat Anshar itu. Ketika orang musyrikin itu melihat keduanya ia
sedar bahawa dirinya telah diketahui maka ia pun melarikan diri. Ketika sahabat
Muhajirin mengetahui darah yang melumuri sahabat Anshar, ia berkata,
‘Subhanallah kenapa engkau tidak membangunkan aku dari tadi?’ Sahabat Anshar
menjawab, ‘Aku sedang membaca surah dan aku tidak ingin memutusnya. Namun,
setelah orang itu berkali-kali memanahku barulah aku ruku’ dan memberitahukan
dirimu. Demi Allah SWT kalau bukan kerana takut mengabaikan tugas penjagaan
yang diperintahkan Rasulullah SAW kepadaku niscaya nafasku akan berhenti
sebelum aku membatalkan solat.’
Bagaimana mudah untuk bangun solat malam?
Petua dari Imam Al-Ghazali:
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas
perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan
menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita
akan terlebih tidur pula.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di
siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi benar-benar
keutamaan solat malam dengan mentadabburi selalu ayat-ayat Qur’an dan
hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta kepada Allah,
rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu
merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya. Bersihkanlah
diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang
tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang
berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti
memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam
hari.
Wallahu’alam~